Khamis, Mac 05, 2009

SALAH GUNA KUASA



Ini sebuah berita lagi...I'm sorry. I just pasted for my readers.

SPRM ada asas siasat Sivakumar atas kesalahan salah guna kuasa

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai asas untuk menyiasat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar atas kesalahan menyalah guna kuasa.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, berkata Speaker DUN tidak kebal undang-undang dan boleh disiasat atas dakwaan melakukan kesalahan itu.

"Berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima, Speaker DUN Perak disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009. Speaker adalah seorang pegawai badan awam yang tidak terlepas daripada disiasat mengikut seksyen itu, jika disyaki melakukan kesalahan menggunakan jawatan dan kedudukannya. "Beliau tidak kebal dari tindakan undang-undang, tambahan lagi jika dibuktikan melakukan sesuatu di luar tindakan atau amalan biasa tugas rasminya," katanya.

Abdul Razak berkata demikian dalam satu kenyataan selepas majlis Tamat Latihan Asas Pegawai Penguasa dan Penolong Penguasa SPRM yang dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan di sini, semalam.

Kelmarin, Sivakumar dan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat mengadakan sidang tergempar DUN Perak di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh selepas dilarang memasuki bangunan itu kerana sidang berkenaan dikatakan tidak sah.
Beberapa jam selepas itu, Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah menghalang Sivakumar mengadakan sebarang sidang DUN tanpa kebenaran Sultan Azlan Shah.

Dalam kenyataan satu halaman itu, Abdul Razak menegaskan, mengikut Seksyen 29(3) Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah, suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk menyiasat bila mana disyaki perlakuan suatu kesalahan mengikut akta berkenaan.

Beliau menjelaskan, maksud 'suapan' mengikut Seksyen 3 Akta SPRM 2009 adalah luas dan meliputi tindakan untuk apa-apa jawatan.


"Kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan wajar diberi takrifan yang luas termasuk tindakan tidak mengikuti tatacara biasa seperti berlaku dalam kes ini," katanya.
Takrifan 'pegawai badan awam' mengikut Seksyen 3 akta yang sama merangkumi ahli sesebuah DUN serta mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada orang awam.

Abdul Razak bagaimanapun berkata, pembuktian kesalahan rasuah masih bergantung kepada setakat mana Sivakumar diberi kuasa mengikut Fasa 16(6) Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak serta Peraturan-Peraturan Tetap DUN Perak, khususnya Perkara 72(3) serta Kuasa dan Tatacara Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

"Jika tindakan beliau melangkaui skop yang dibolehkan, maka SPRM mempunyai kuasa menyiasat beliau," katanya.


Tiada ulasan:

ABLEWISE

AdBrite

Your Ad Here
MoreNiche Affiliate Program