Sabtu, Februari 13, 2010

NIZAR - HARU-BIRU LAGI!

Saya pinjam daripada: UMNO Online

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Kenyataan Datuk Seri Nizar Jamaludin terhadap keputusan hakim bagi kes kesahihan Menteri Besar Perak, semalam adalah penghinaan kepada mahkamah.



Menuduh Sistem Kehakiman sebagai tidak bebas adalah jelas satu penghinaan dan memburukkan segala institusi termasuk dalam Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Perak.
Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun berpendapat, “Saya melihat kenyataan Nizar semalam sebagai satu komen yang berbentuk penghinaan kepada mahkamah”.
“Kenyataan Nizar sengaja dibuat bagi mencetuskan satu polemik politik yang bertujuan mengelirukan rakyat secara berterusan dan langsung tidak berasaskan undang-undang.”
Beliau menjelaskan, menurut Perlembagaan Persekutuan 1957 jelas menyatakan bahawa negara ini menggunapakai sistem Raja Berpelembagaan.
Duli-duli Maha Mulia Sultan Melayu akan bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar kecuali terhadap 2 perkara yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia amnya dan Perak khususnya iaitu pertama, melantik Menteri Besar dan kedua membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Justeru itu, beliau berkata, apabila Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Februari 2009 memohon membubarkan Dun, dia tidak mendapat perkenan Sultan Perak.
Malah, tegas beliau, Sultan Perak menitahkan Nizar serta Anggota Exco meletakkan jawatan dan sekiranya enggan maka jawatan mereka akan dianggap kosong. Malangnya Nizar ingkar malah sanggup membuat sembah derhaka.
Hafarizam berkata, berdasarkan apa yang berlaku tahun lepas jelas menunjukkan bahawa Nizar yang telah merosakkan institusi Raja Berperlembagaan dan bukannya seperti dakwaan beliau kononnya sistem monarki negara menuju monarki mutlak.
“Institusi Kehakiman adalah institusi yang terletak di bawah Yang Di Pertuan Agong yang bersifat bebas dan berasingan dengan badan perundangan dan eksekutif. Sebagai badan yang bebas, hakim-hakim juga adalah bebas maka tidak timbul itu kononnya kerajaan berada di belakang hakim-hakim tersebut”.
Apa yang dinyatakan Nizar kononnya sistem kehakiman tidak bebas, ini jelas satu penghinaan kepada mahkamah dan satu lagi taktik untuk memburuk-burukkan segala institusi termasuk dalam Perlembagaan Malaysia dan Perak.
”Jika mahkamah bukan tempat rakyat Malaysia mendapat keadilan termasuk Datuk Seri Nizar, kenapa beliau sendiri menfailkan kes ini ke Mahkamah Tinggi tahun lepas jika beliau tidak percaya kepada mahkamah,“ jelasnya.
Beliau berkata, kes Nizar lawan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah pun sampai ke peringkat penghakiman terakhir. Tidak ada lagi sebarang rayuan selepas in dan selaras dengan prinsip “finality of decisions”, keputusan Mahkamah Persekutuan mesti dihormati dan dipatuhi.
Katanya, seperti yang dinyatakan Mahkamah Persekutuan semalam sekiranya Nizar yakin beliau masih mempunyai suara majoriti di Dun, beliau bolehlah mengemukakan usul undi tidak percaya pada Sidang DUN.
Perebutan jawatan Menteri Besar Perak sudah pun muktamad milik Dr Zambry dengan keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff itu. Mahkamah menolak rayuan Nizar untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar.
Apa yang jelas keputusan 5-0 menunjukkan tiada apa lagi yang boleh diungkit atau dipertikaikan pembangkang mengenai kedudukan Dr Zambry atau isu dua Menteri Besar, sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor itu mengangkat sumpah memegang jawatan berkenaan menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari 2009.
Keputusan semalam juga memberi jawapan keadilan dicari-cari sejak setahun lalu melalui proses undang-undang sudah pun diadili dengan sewajar-wajarnya.
Bagi Dr Zambry keputusan semalam membolehkan beliau untuk terus memberi fokus kepada hala tuju pembangunan Perak dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
Bagi Nizar pula, selaku pihak yang memilih sendiri mahu mencari keadilan menerusi institusi mahkamah, beliau tiada pilihan selain akur keputusan mahkamah tertinggi negara ini.
Ini kerana pada 13 Februari 2009, ketika memfailkan tuntutan supaya dirinya diisytiharkan Menteri Besar Perak yang sah, Nizar pasti mempunyai keyakinan terhadap kebebasan dan keadilan sistem kehakiman.
Apabila keputusan Mahkamah Tinggi menyebelahinya pada 11 Mei 2009, Nizar dan pembangkang menyifatkannya keputusan itu tepat. Sehari kemudian apabila Mahkamah Rayuan menangguhkan pelaksanaan keputusan awal itu, mereka kembali mencemuh sistem yang sama.
Malangnya apabila keadilan yang dicari menerusi perundangan hingga diputuskan Mahkamah Persekutuan semalam, Nizar seakan tidak dapat menerima keputusan tersebut.
Ini boleh dilihat melalui kenyataan Nizar yang menyifatkan semalam hari paling sedih kerana kononnya sistem kehakiman tidak bebas. Beliau turut mendakwa kononnya sistem monarki negara menuju monarki mutlak. – UMNONews

Tiada ulasan:

ABLEWISE

AdBrite

Your Ad Here
MoreNiche Affiliate Program